November 3, 2026

Siti Asiah Ketua Perangkawan Malaysia ke-10

0
Berapa besarkah tip RM5 buat ‘abang rider’

KUALA LUMPUR – Kerajaan hari ini mengumumkan pelantikan Siti Asiah Ahmad sebagai Ketua Perangkawan Malaysia ke-10, berkuat kuasa hari ini, menggantikan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin, yang bersara wajib pada 7 Julai lalu. 

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pelantikan Siti Asiah sebagai Ketua Perangkawan Malaysia ke-10 mencerminkan keyakinan kerajaan terhadap pengalaman, kepakaran dan rekod perkhidmatan beliau untuk menerajui Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). 

“Dalam persekitaran ekonomi yang semakin kompleks, statistik rasmi perlu lebih pantas, tepat dan boleh dipercayai supaya kerajaan dapat bertindak lebih awal dan menyasarkan intervensi dengan lebih berkesan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu memberitahu, Siti Asiah, 51, mempunyai pengalaman hampir 28 tahun dalam bidang statistik ekonomi dan sosial, transformasi digital serta pembangunan dasar berasaskan bukti. 

Menurut kenyataan itu, Siti Asiah memulakan perkhidmatan sebagai Perangkawan pada tahun 1998 dan sebelum ini menyandang jawatan Timbalan Ketua Perangkawan bagi (Program Ekonomi). 

Sebelum pelantikan ini, Kementerian Ekonomi memberitahu, Siti Asiah bertanggungjawab menerajui penyediaan statistik utama negara, termasuk Keluaran Dalam Negeri Kasar, perdagangan luar negeri serta statistik industri dan perkhidmatan. 

Sepanjang perkhidmatan, tambah kenyataan itu, beliau terlibat dalam pelbagai inisiatif strategik negara, termasuk pembangunan Pangkalan Data Utama, penyediaan statistik kos sara hidup dan pengukuhan Sistem Statistik Negara. 

“Beliau memiliki Ijazah Sarjana Sains dalam bidang Ekonomi daripada Universiti Putra Malaysia dan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat daripada Universiti Teknologi Malaysia. 

“Kepakaran beliau turut diiktiraf melalui penglibatan dalam kumpulan kerja statistik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, ASEAN dan organisasi antarabangsa berkaitan,” katanya.

Jelasnya, struktur kepimpinan tertinggi DOSM turut diperkukuh dengan pelantikan Norhayati Jantan sebagai Timbalan Ketua Perangkawan bagi Sosial dan Pembangunan Teknikal serta Wan Mohd Shahrulnizam Wan Mohd Najuri sebagai Timbalan Ketua Perangkawan bagi Ekonomi. 

“Kementerian Ekonomi merakamkan ucapan tahniah dan yakin barisan kepimpinan ini akan terus memperkukuh kredibiliti statistik rasmi serta menyokong perancangan pembangunan negara yang lebih tepat, telus dan berasaskan bukti,” katanya lagi. – Khabardotmy

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *