Peniaga dakwa taktik pelancong asing buat ‘review’ mahu makan percuma
KUALA LUMPUR – Golongan peniaga kecil diingatkan agar tidak mudah terpedaya dengan taktik baharu segelintir pelancong asing ala backpackers yang didakwa cuba menggunakan modus operandi ‘ulasan makanan’ demi mendapatkan hidangan secara percuma.
Perkara tersebut didedahkan oleh seorang peniaga tempatan yang mendakwa premisnya baru-baru ini didatangi oleh dua pelancong warga asing yang cuba menggunakan helah tersebut bagi mengelak daripada membuat bayaran.
Menurut peniaga berkenaan, kedua-dua pelancong tersebut pada mulanya menyatakan hasrat untuk merasai pengalaman pertama menikmati cendol sebelum bertindak merakam video ulasan (review) sambil memberikan ‘pujian melambung’ terhadap kelazatan hidangan tersebut.
“Dia makan tu dia siap buat video… Dia pujilah kata cendol saya sedap, very nice, very soft, very milky dan very fatty. Okeylah, saya pun layan. Alih-alih bila dah habis makan, saya minta bayaran RM10 untuk dua cawan, terbeliak biji mata dia,” katanya.
Beliau menambah, pelancong terbabit kelihatan teragak-agak dan ‘menggigil’ ketika diminta mengeluarkan wang bagi melunaskan caj hidangan yang dinikmati mereka.
Mengulas lanjut, peniaga tersebut menegaskan bahawa taktik tersebut dipercayai merupakan kaedah menggantikan aktiviti meminta sedekah atau busking jalanan yang kini telah diharamkan oleh pihak berkuasa.
Pelaku cuba memanipulasi mentaliti segelintir peniaga tempatan yang cenderung memberikan makanan percuma demi mengharapkan publisiti atau limpahan jualan daripada ulasan pelancong asing.
“Itulah, kepada peniaga-peniaga kecil, apabila ada pelancong asing datang makan di kedai dan membuat review sedikit, engkau pun bagi free, Lepas tu engkau bangga pula, ‘Oh mereka datang makan kedai aku, dia kata kedai aku sedap’. Tak ada bang, itu maknanya engkau kena tipu bang, engkau kena tipu!
Beliau turut menjelaskan bahawa sekiranya pihak premis benar-benar mahu meningkatkan publisiti atau penarafan perniagaan, mereka lebih rela menggunakan khidmat pempengaruh (influencer) atau pengulas makanan tempatan yang sah secara berbayar, berbanding memberikan layanan percuma kepada pelancong asing yang tidak mendatangkan hasil. – Khabardotmy
