November 2, 2026

Jika ada rakyat Israel di Network School, mereka akan diusir segera – PM Anwar

0
Berapa besarkah tip RM5 buat ‘abang rider’ (24)

Oleh Editor

KUALA LUMPUR – Mana-mana rakyat Israel yang dikesan berada di negara ini akan diusir serta-merta kerana Malaysia tidak mengiktiraf negara berkenaan, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, semua agensi berkaitan sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan terdapat warga Israel yang menggunakan dua pasport atau kewarganegaraan untuk menyertai komuniti Network School di Forest City, Johor.

“Kita siasat, kita tidak izinkan. Kalau ada, tindakan mesti diambil.

“Kalau ada rakyat Israel, kerana kita tidak iktiraf, mereka akan diusir segera. Tapi (sekarang) semua agensi menjalankan siasatan,” katanya seperti dilaporkan oleh Astro Awani.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sumbangan Khas Murid-Murid Wilayah Persekutuan A Celebration of Life and Peace di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan sedang menjalankan semakan dan siasatan menyeluruh berhubung isu operasi Network School.

Dalam satu kenyataan, KDN memaklumkan bahawa semakan dan siasatan itu merangkumi  identiti dan kewarganegaraan individu yang terlibat, status serta kesahihan dokumen perjalanan yang digunakan, jenis pas atau kemudahan imigresen yang diberikan serta tujuan kemasukan ke Malaysia.

Selain itu, menurutnya, pematuhan terhadap syarat-syarat yang ditetapkan di bawah undang-undang imigresen serta undang-undang lain yang berkaitan turut akan disiasat.

Sebelum itu, dilaporkan bahawa Kerajaan Negeri Johor menggesa siasatan menyeluruh dilakukan terhadap operasi Network School susulan dakwaan terdapat warga Israel yang menyertai program berkenaan menggunakan pasport negara kedua.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dilaporkan berkata, kerajaan negeri memandang serius perkara itu dan tidak akan membenarkan mana-mana pihak menjadikan Johor sebagai tapak untuk membawa ideologi atau gerakan yang bercanggah dengan undang-undang, kedaulatan serta kepentingan negeri dan negara. – Khabardotmy

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *