Anugerah Buku Negara 2026 buka pencalonan, iktiraf karya penerbitan dan adapstasi novel ke skrin
KUALA LUMPUR – Pencalonan bagi Anugerah Buku Negara (ABN) Ke-21 yang akan berlangsung pada 6 hingga 8 November depan, telah dibuka.
Pencalonan ABN Ke-21 itu telah dibuka oleh Orange Economy Consortium (OEC) dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) dan Yayasan Teras Utama.
Pengarah Urusan Orange Economy Consortium (OEC), Dr. Hasan Hamzah berkata, pencalonan dibuka sehingga 15 September depan dan terbuka kepada semua penerbit universiti di institusi pengajian tinggi awam dan swasta, institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta ahli Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM).
Selain itu, katanya, ia juga terbuka kepada persatuan penerbit seperti Malaysian Book Publishers Association (MABOPA), Malaysian Publishers Association (MAPA), penerbit buku Bumiputera serta agensi kerajaan termasuk Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).
“ABN yang mula dianjurkan sejak 2005 terus menjadi platform berprestij yang mengiktiraf kecemerlangan penerbitan negara merangkumi karya ilmiah, akademik, profesional dan umum.
“Bagi melayakkan penyertaan, setiap penerbit perlu mengemukakan antara lima hingga 10 naskhah bagi setiap judul yang dipertandingkan. Semua penyertaan akan dinilai oleh panel juri profesional yang dipengerusikan oleh Pengerusi Majlis Penasihat ABN, Tan Sri Prof. Emeritus Dr. Anuwar Ali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, proses penjurian dijadual berlangsung dari 15 September hingga 15 Oktober 2026, sebelum pemenang diumumkan pada majlis penyampaian anugerah yang dijadualkan berlangsung pada awal November depan.
Dalam perkembangan berkaitan, OEC turut menganjurkan Anugerah Telenovela Ke-11 yang memberi pengiktirafan kepada novel dan karya fiksyen tempatan yang berjaya diadaptasi menjadi drama bersiri, telefilem atau filem untuk siaran di platform penyiaran dan penstriman.
“Anugerah itu merangkumi karya yang diterbitkan melalui stesen televisyen seperti RTM, TV3 dan Astro, selain platform penstriman digital (OTT) termasuk Viu, Netflix dan platform seumpamanya.
“Pengenalan kategori baharu itu mengambil kira perkembangan pesat industri kreatif yang menyaksikan semakin banyak karya sastera diadaptasi ke medium visual, termasuk penerbitan berskala kecil menggunakan teknologi mudah alih seperti telefon pintar.
“Penilaian bukan tertumpu kepada kos penerbitan atau teknologi yang digunakan, sebaliknya kepada kreativiti, kekuatan penceritaan serta kualiti adaptasi daripada novel atau buku kepada karya audiovisual,” ujarnya.
Katanya, ABN dan Anugerah Telenovela diharapkan dapat terus memperkukuh ekosistem industri buku dan kandungan kreatif negara, di samping menggalakkan penerbit, penulis serta penggiat industri menghasilkan karya berkualiti tinggi yang mampu memberi impak kepada masyarakat dan industri kreatif Malaysia. – Khabardotmy
