I-Medik gesa segerakan saluran elaun perpindahan doktor
KUALA LUMPUR — Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) menggesa agar pelaksanaan dan penyaluran elaun perpindahan bagi pegawai perubatan yang melapor diri di fasiliti baharu disegerakan.
Naib Presidennya, Dr. Ahmad Muslim Ahmad Roslan berkata, langkah pengembalian kelayakan tuntutan elaun tersebut amat dialu-alukan, namun ia perlu disusuli dengan mekanisme tuntutan yang efisien dan bebas daripada birokrasi yang merumitkan.
Beliau berkata, gesaan itu dibuat memandangkan sistem kesihatan negara kini berada pada tahap kritikal, bersandarkan data terbaharu yang mendedahkan penyusutan pertama tenaga kerja doktor sektor awam dalam tempoh satu dekad, sejak kali terakhir berlaku pada 2014.
“Lebih membimbangkan, ramalan Timbalan Menteri Kesihatan bahawa kadar ketidakhadiran melapor diri (no-shows) di Sabah boleh mencecah sehingga 50 peratus merupakan satu isyarat kecemasan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Baru-baru ini media melaporkan bahawa KKM telah menyelesaikan isu kebajikan berkaitan kos perpindahan pegawai perubatan yang sebelum ini menjadi antara rungutan utama golongan doktor.
Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, mulai Julai 2026 semua pegawai perubatan yang melapor diri di fasiliti baharu dijamin layak menuntut elaun perpindahan penuh mengikut peraturan kewangan kerajaan.
“Mulai Julai 2026, kesemua pegawai perubatan yang melapor diri di fasiliti baharu kini dijamin layak menuntut elaun perpindahan penuh, termasuk elaun makan, sewa hotel dan kos pengangkutan barang. Isu legasi yang sekian lama membelenggu para doktor akhirnya berjaya kita selesaikan secara tuntas,” katanya.
Mengulas lanjut, Dr. Ahmad Muslim menjelaskan, kadar no-shows yang tinggi itu berakar umbi daripada bebanan kos pemindahan yang besar, khususnya melibatkan penempatan rentas negeri ke Sabah dan Sarawak merentasi Laut China Selatan.
Katanya, kekangan kewangan dan kelewatan menerima bantuan dikesan menjadi punca utama yang mendesak segelintir pegawai perubatan muda menolak tawaran penempatan atau memilih untuk meletakkan jawatan.
Sehubungan itu, I-Medik mencadangkan agar KKM mempertimbangkan inisiatif penyediaan wang pendahuluan elaun atau pemberian waran tiket penerbangan bagi meringankan beban kos awal yang terpaksa ditanggung oleh para pegawai terbabit.
Dalam perkembangan sama, persatuan itu turut menyambut baik keputusan bersejarah kerajaan memberikan kuasa penuh kepada KKM dalam menguruskan hal ehwal perjawatan, termasuk pelantikan tetap bagi 4,500 pegawai perubatan kontrak.
Dr. Ahmad Muslim menyifatkan kelancaran penyaluran elaun tersebut bukan sahaja akan memulihkan semangat dan motivasi pegawai perubatan, malah ia adalah satu pelaburan wajib bagi menghalang krisis penyusutan tenaga kerja kesihatan negara daripada terus meruncing. – Khabardotmy
