Sudah tiba masa gubal Akta Perlindungan Guru – Asyraf Wajdi
Oleh Wartawan Khabardotmy
KUALA LUMPUR – Kerajaan diseru menggubal Akta Perlindungan Guru bagi melindungi guru yang bertindak dengan suci hati (good faith), secara munasabah dan mengikut prosedur untuk mengawal disiplin, keselamatan pelajar.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Asyraf Wajdsi Dusuki berkata, Akta Perlindungan Guru sering dibangkitkan kerana ramai berpendapat guru semakin terdedah kepada tindakan undang-undang, ancaman dan tekanan ketika melaksanakan tugas mereka.
“Antara rasional utama termasuklah melindungi guru yang bertindak mengikut prosedur. Guru sering membuat keputusan serta-merta untuk mengawal disiplin, keselamatan atau kecemasan.
“Jika tindakan dibuat mengikut undang-undang dan garis panduan Kementerian Pendidikan (KPM), mereka tidak seharusnya mudah dikenakan tindakan sivil atau jenayah semata-mata kerana tidak puas hati,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Selain itu, tambah beliau, rasional penggubalan akta tersebut adalah bagi mengurangkan budaya litigasi.
Jelasnya, terdapat peningkatan kecenderungan membawa pertikaian sekolah ke mahkamah.
Menurutnya, akta berkenaan boleh mewujudkan mekanisme penyelesaian awal seperti siasatan atau mediasi sebelum tindakan mahkamah diambil.
“(Langkah ini juga) Memberi sokongan undang-undang kepada guru. Ramai guru berdepan tindakan undang-undang menggunakan kos sendiri.
“Akta boleh memperuntukkan bantuan guaman atau indemniti kerajaan bagi guru yang bertindak dalam ruang lingkup tugas rasmi,” katanya.
Dalam pada itu, tegasnya, penggubalan akta tersebut bakal meningkatkan keyakinan guru menjalankan tugas.
Jika guru sentiasa bimbang akan disaman, tambahnya, golongan itu mungkin menjadi terlalu berhati-hati sehingga enggan mengambil tindakan disiplin yang sewajarnya sekali gus boleh menjejaskan pengurusan sekolah dan pembentukan sahsiah murid.
“Perlindungan undang-undang yang munasabah menjadikan profesion guru lebih dihormati dan diyakini, sekali gus membantu mengekalkan bakat dalam bidang pendidikan,” katanya. – Khabardotmy
