Awas taktik ‘drama kasihan’ scammer di stesen pengangkutan awam
KUALA LUMPUR – Sifat prihatin dan mudah simpati masyarakat kini nampaknya terus dieksploitasi oleh golongan tidak bertanggungjawab.
Individu-individu ini tanpa segan silu sanggup mereka-reka cerita kecemasan dan melakukan penipuan terancang demi mengaut keuntungan mudah daripada orang awam yang berniat baik.
Terbaharu, tular kisah yang dikongsikan oleh seorang pengguna di laman Threads mengenai taktik seorang lelaki di sebuah stesen pengangkutan awam.
Pelaku sengaja mencipta drama kesulitan palsu untuk memancing emosi orang awam.
Dalam kejadian tersebut, pelaku yang merupakan seorang lelaki berusia awal 30-an sengaja mendekati mangsa yang sedang berseorangan.
Untuk memastikan penipuannya kelihatan meyakinkan, dia bertindak membuka aplikasi bank dan aplikasi e-hailing siap-siap di telefon bimbitnya sebelum ditunjukkan kepada mangsa.
Pelaku mendakwa kononnya aplikasi e-hailing dan transaksi banknya mengalami masalah untuk membayar tambang perjalanan pulang.
“Dia mendekati saya dengan kedua-dua aplikasi e-hailing dan bank sedia terbuka serta menunjukkan laluan dan harga tambang tersebut. Walaupun saya menyatakan tidak mempunyai wang, individu berkenaan terus mendesak dan menekan saya untuk melakukan pelbagai perkara (transaksi).
“Keadaan itu amat merimaskan, namun dalam masa yang sama saya memahami situasi pelaku yang kelihatan seperti hilang harapan,” jelas mangsa menerusi perkongsiannya di media sosial.
Mengulas lanjut mengenai detik cemas berkenaan, mangsa mendedahkan bahawa pelaku turut menyatakan kesediaan untuk menerima wang secara tunai sekiranya transaksi dalam talian menghadapi kegagalan.
“Kami melalui fasa ‘tarik tali’ selama hampir lima minit, malah saya secara lantang mengulangi kenyataan, ‘Saya takut, macam mana kalau awak yang tipu saya?’ beberapa kali. Kata-kata jaminan yang kelihatan sangat meyakinkan itu akhirnya mendorong saya untuk mengalah dan menyerahkan wang berkenaan,” katanya lagi.
Malah, apabila mangsa meminta gambar kad pengenalan (IC) sebagai jaminan, pelaku dengan penuh yakin memberikan jawapan: “Cik, nanti lepas saya dah bayar balik, tolong padam gambar saya dan IC saya ya?”
Akhirnya mangsa beralah, lalu menyerahkan wang tunai.
Tembelang pelaku akhirnya pecah apabila mangsa tergerak hati untuk membuat carian mengenai kes penipuan di stesen pengangkutan awam melalui media sosial.
Rupa-rupanya, lelaki yang sama sudah pun mempunyai ‘rekod’ mendedahkan wajah dan modus operandi serupa yang pernah dikongsikan oleh mangsa-mangsa terdahulu.
“Tak terfikir pun dia seorang scammer. Tapi bila saya saja cari di media sosial… rupanya ada hantaran lain yang dah dedahkan lelaki ini. Masa tu saya tahu saya dah terkena,” katanya.
Di akhir perkongsian, mangsa menitipkan pesanan agar orang ramai lebih berhati-hati dan berani bertegas sekiranya berhadapan dengan taktik penipuan jalanan sebegini. – Khabardotmy
