Pelarian: Sampai bila Malaysia perlu tanggung beban bersendirian? – MP Shah Alam
KUALA LUMPUR – Sampai bila Malaysia perlu menanggung beban penempatan pelarian secara bersendirian, soal Ahli Parlimen Shah Alam pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata, Malaysia telah lama memikul tanggungjawab kemanusiaan tanpa obligasi undang-undang antarabangsa dengan menempatkan 215,000 pelarian dan pencari suaka termasuk daripada etnik Rohingya.
“Malaysia sebenarnya berada dalam kedudukan yang sangat unik. Kita bukan penandatangan Konvensyen Status Pelarian 1951, namun kita menempatkan 215,000 pelarian dan pencari suaka termasuk daripada etnik Rohingya yang direkodkan UNHCR berjumlah 126,000, 64,700 ataupun 46 peratus adalah merupakan kanak-kanak di bawah 18 tahun.
“Ini bermaksud, Malaysia telah lama memikul tanggungjawab kemanusiaan tanpa obligasi undang-undang antarabangsa. Persoalannya, sampai bila Malaysia perlu menanggung beban ini secara bersendirian?
“Mengapa negara-negara maju yang sering bercakap tentang hak asasi manusia tidak menerima lebih ramai pelarian? Mengapa negara-negara ASEAN masih gagal mencari penyelesaian yang tuntas terhadap krisis Myanmar? Mengapa negara transit seperti Malaysia terus menanggung kos sosial, ekonomi dan keselamatan? Persoalan-persoalan inilah yang mesti kita jawab,” katanya.
Beliau menarik perhatian terhadap isu penempatan warga Rohingya di Hulu Langat baru-baru ini, yang mencetuskan kebimbangan penduduk setempat dan mendapat reaksi rakyat seluruh negara.
Jelasnya, bantahan yang berlaku bukan semata-mata kerana soal kaum atau agama, tetapi kerana timbul persoalan tentang keselamatan, kesesakan, kebersihan, pematuhan undang-undang dan kegagalan pihak berkuasa mengurus penempatan tersebut dengan lebih tersusun.
Beliau menambah, media sosial pula dipenuhi dengan pelbagai dakwaan kebencian dan fitnah sehingga akhirnya sukar membezakan antara pelarian sebenar, pendatang ekonomi dan anggota sindiket.
“Keadaan ini jika tidak ditangani dengan betul, amat berbahaya kerana ia boleh mencetuskan ketegangan sosial yang lebih besar,” katanya.
Dalam membincangkan isu tersebut katanya, ia tidak boleh dilihat secara hitam atau putih.
Beliau berkata, terdapat pihak yang memperjuangkan hak asasi manusia dan terdapat pula pihak yang mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara.
“Bagi saya kedua-duanya mesti berjalan seiring. Malaysia tidak boleh menjadi negara yang menutup pintu hati, tetapi Malaysia juga tidak boleh menjadi negara yang membuka pintu sempadan tanpa kawalan. Inilah keseimbangan yang perlu kita capai,” katanya.
Menurutnya, beliau menghargai dan menghormati penegasan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) bahawa setiap manusia termasuk pelarian dan pencari suaka mempunyai hak kepada layanan bermaruah, perlindungan daripada eksploitasi, akses kepada pendidikan asas serta layanan yang adil selaras dengan prinsip hak asasi manusia.
Namun, tambahnya, harus diingati bahawa hak asasi manusia tidak boleh dibincangkan tanpa mengambil kira hak rakyat Malaysia sendiri.
Justeru itu, jelasnya, kerajaan wajib bertindak apabila berlaku penempatan yang tidak terkawal, kemasukan tanpa dokumen, eksploitasi buruh, penyeludupan manusia dan peningkatan keresahan masyarakat. – Khabardotmy
