November 2, 2026

Belanjawan 2027: Bantuan segera perlu disertai peluang perbaiki taraf hidup anak muda – ABIM

0
Laluan Komuter Bandar dengan Menara Berkembar

KUALA LUMPUR– Bantuan segera kepada golongan muda yang terhimpit dengan kos sara hidup perlu disertai dengan peluang untuk memperbaiki kehidupan mereka termasuk pekerjaan yang baik, pendapatan yang mencukupi dan perkhidmatan asas yang mampu diakses.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, menjelang pembentangan Belanjawan 2027 pada Jumaat ini, perkara itu perlu diberi perhatian bagi memberikan anak muda ruang untuk membina masa depan yang lebih kukuh.

“Dalam Forum Ekonomi Belia 2026 pada 3 Oktober lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan anak muda mempunyai peranan untuk bersama-sama memimpin negara pada masa kini.

“Penegasan ini perlu diterjemahkan dalam belanjawan melalui penglibatan belia dalam pembentukan dasar dan penilaian pelaksanaannya. Pengalaman mereka perlu mempengaruhi keputusan yang menyentuh kehidupan mereka,” katanya dalam kenyataan seperti dilaporkan oleh Bernama.

Beliau berkata, seseorang yang bekerja namun masih tidak mampu membina simpanan, hal itu berkait rapat dengan pendapatan, kos hidup, kemudahan yang tersedia serta dasar yang memberikan ruang untuk golongan itu lebih maju.

Ahmad Fahmi berkata, ABIM menyokong pengukuhan bantuan berkala oleh kerajaan kepada golongan yang memerlukan termasuk menerusi Sumbangan Asas Rahmah (SARA), SARA untuk Semua dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

Beliau berkata, bagi Belanjawan 2027, keutamaannya adalah memastikan jumlah bantuan mencukupi, jadual penyaluran jelas dan golongan yang memerlukan tidak tercicir. 

“Ini termasuklah belanja makanan, pengangkutan dan bil berulang setiap bulan dengan bantuan yang dapat dijangka membantu penerima merancang perbelanjaan serta mengurangkan keperluan berhutang.

“Tambahan peruntukan wajar mengutamakan golongan berpendapatan rendah termasuk keluarga muda serta mereka yang kehilangan pekerjaan atau pendapatan tidak menentu. Kekerapan bayaran perlu dinilai dengan jumlah bantuan dan syarat kelayakan berdasarkan pendapatan semasa, tanggungan keluarga serta kos keperluan asas,” katanya. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *