November 3, 2026

Isu Orang Asli Kampung Sungai Cot: PM akan bangkitkan bersama kerajaan negeri

0
1

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akan membincangkan isu pertikaian tanah terkait masyarakat Orang Asli Kampung Sungai Cot, Maran, Pahang bersama Kerajaan Negeri Pahang.

Perdana Menteri berkata, ini memandangkan perkara itu berada di bawah bidang kuasa negeri.

Dalam hantaran Facebook, Anwar memberitahu bahawa beliau sempat berhubung menerusi telefon wakil masyarakat Orang Asli tersebut yang hadir di kediamannya petang semalam.

“Saya mendengar permasalahan yang dihadapi mereka terkait pertikaian tanah selain penahanan tiga penduduk Orang Asli dari kampung mereka.

“Alhamdulillah, saya dimaklumkan bahawa mereka yang ditahan sebelum ini telah dibebaskan oleh pihak polis,” katanya di laman Facebook semalam

Anwar seterusnya memberi peringatan kepada mana-mana pihak agar tidak memanipulasikan isu tersebut sebaliknya diselesaikan secara adil dan berhemah mengikut lunas undang-undang.

Berdasarkan laporan media, isu pertikaian tanah di Kampung Sungai Cot mendapat perhatian selepas tular video seorang wanita Orang Asli bersama anaknya memohon bantuan untuk bertemu Perdana Menteri berhubung penahanan suami beliau yang dikaitkan pertikaian.

Pertikaian membabitkan tanah diusahakan Orang Asli namun kawasan tersebut didakwa mempunyai hak milik berdaftar atas nama sebuah syarikat.

Akibat pertikaian itu, tiga penduduk Orang Asli dilaporkan ditahan polis bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *