November 2, 2026

BERSATU satu-satunya parti pembangkang tunggal – Muhyiddin

0
Berapa besarkah tip RM5 buat ‘abang rider’ (32)

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Malaysia (BERSATU) adalah satu-satunya parti pembangkang tunggal dalam Parlimen Malaysia, tegas Presidennya, Tan Sri Mukhyuddin Yassin.

Beliau berkata, perkara tersebut adalah kerana Pakatan Harapan (PH) adalah kerajaan di Persekutuan dan di beberapa negeri.

Sementara itu, Barisan Nasional (BN) juga adalah kerajaan di Persekutuan dan di beberapa negeri.

Malah, tambah beliau, apabila Perikatan Nasional (PN) mengadakan kerjasama politik dengan BN, gabungan itu juga secara tidak langsung telah menjadi parti yang menyokong parti kerajaan.

“Mampukah BERSATU bertahan dalam menghadapi cabaran dan tentangan daripada parti-parti kerajaan dan pro-kerajaan?

“Bagi saya isunya bukan mampu bertahan, tetapi mesti bertahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Muhyiddin menambah, perkara itu kerana kini wujud satu kelompangan yang besar dalam politik Malaysia. 

Beliau berkata, tiada lagi parti yang benar-benar berwibawa untuk melakukan semak dan imbang terhadap dasar-dasar kerajaan.

Menurutnya, tiada lagi parti juga yang benar-benar berwibawa untuk membawa suara rakyat dalam keadaan kehidupan rakyat semakin tertekan.

“BN boleh bercakap berdegar-degar inilah masanya untuk membenamkan PH serta disambut dengan senyum simpul oleh PN-PAS, tetapi BN dan PH tidak boleh lari walau seinci pun daripada tanggungjawab kolektif (collective responsibility) melaksanakan dasar-dasar yang membebankan rakyat.

“Ia seperti kenaikan harga diesel dan petrol, kegagalan menangani isu kos sara hidup rakyat dengan berkesan, kegagalan melaksanakan reformasi institusi dan banyak lagi dasar-dasar yang membebankan rakyat dan perniagaan,” katanya.

Muhyiddin turut menggesa UMNO dan BN agar tidak menutup segala kelemahan itu dengan ‘menghempap’ segala kesalahan ke atas bahu orang lain sambil mengaut nikmat sebagai kerajaan dan akhirnya berselindung di bawah selimut Penyatuan Ummah dan Penyatuan Melayu untuk meraih sokongan orang Melayu.

“Percayalah, ini hanyalah sandiwara untuk mengaburi mata orang Melayu dan rakyat demi mendapatkan kuasa.

“BERSATU bebas daripada semua sandiwara ini. BERSATU bertekad untuk istiqamah dengan matlamat dan dasar perjuangannya untuk membela rakyat dan memajukan negara.

“BERSATU walaupun berhadapan dengan cabaran dan tentangan yang bukan sedikit, jiwanya mesti besar,” katanya.

Muhyiddin berkata, BERSATU bermula sebagai parti pembangkang, dengan perjuangan menentang kleptokrasi yang terkait dengan skandal kewangan terbesar dunia iaitu 1Malaysia  Development Berhad (1MDB) membawa kepada penubuhan parti tersebut.

“Ini asas kewujudan BERSATU. Asas ini jangan dilupakan. Kedudukan BERSATU hari ini adalah sebagai parti pembangkang seperti di peringkat awal penubuhannya,” katanya. – Khabardotmy

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *