Lebih 700 kg vape ada bahan terlarang dirampas, KDN terus ambil tindakan tegas, menyeluruh
KUALA LUMPUR – Jumlah rampasan vape atau rokok elektronik yang disyaki mengandungi bahan terlarang sejak tahun 2023 hingga bulan lalu adalah sebanyak 718.43 kilogram (kg) dengan jumlah tangkapan seramai 585 orang yang melibatkan 400 kes.
Bahan terlarang adalah seperti dadah sintetik, tetrahydrocannabinol (THC), ekstrak mushroom dan bahan psikoaktif lain
Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberitahu, secara pecahan, rampasan pada tahun 2023 adalah sebanyak 471.50 kg dengan melibatkan 66 tangkapan (32 kes), menurun pada 2024 kepada 62.68 kg dengan melibatkan 114 tangkapan (92 kes).
Menurut kementerian, trend kembali meningkat pada 2025 dengan rampasan sebanyak 115.22 kg dengan melibatkan 138 tangkapan (108 kes) dan bagi tahun 2026 sehingga bulan Mei, jumlah rampasan sebanyak 69.03 kg dengan melibatkan 267 tangkapan (168 kes).
“KDN memandang serius trend salah guna vape bercampur bahan terlarang yang menyasarkan golongan muda dan pelajar. Penjualan ini dikesan secara dalam talian, media sosial, dan perkhidmatan kurier,” katanya dalam jawapan bagi pertanyaan-pertanyaan jawab lisan yang tidak dijawab di dalam dewan pada sidang Dewan Rakyat.
Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN – Masjid Tanah) telah meminta kementerian menyatakan jumlah rampasan vape yang mengandungi bahan terlarang seperti dadah sintetik, THC, ekstrak mushroom dan bahan psikoaktif lain sejak tahun 2023.
Beliau juga bertanya berhubung langkah penguatkuasaan tegas dan drastik yang sedang dalam perancangan untuk dilaksanakan bagi membanteras sindiket pengedaran vape berbahaya yang menyasarkan golongan muda dan pelajar sekolah.
Bagi membendung isu itu, kementerian berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi penguatkuasaan sedang dan akan terus melaksanakan tindakan tegas termasuk mempergiat operasi khas bersepadu bersama agensi penguatkuasaan berkaitan untuk mengekang sindiket pengedaran vape berbahaya.
Tambahnya, ini terutama di premis hiburan, kios vape, makmal dadah sintetik dan lokasi-lokasi yang dikenal pasti menjadi tumpuan golongan muda.
Jelasnya, operasi khas OP Vape 1.0 (April 2026) di antara beberapa pihak termasuk Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) telah memeriksa 1,670 premis, dimana 728 premis didapati melanggar peraturan.
Kata kementerian, sebanyak 8,091 peranti vape, 5,257 kartrij vape dan 205.764 kg bahan serta cecair vape yang bernilai secara keseluruhan RM4.59 juta telah dirampas manakala, rampasan melibatkan bahan dan cecair yang disyaki mengandungi dadah sebanyak 19.67 kg yang bernilai RM2.9 juta.
Selain itu, jelasnya, agensi-agensi penguatkuasaan turut memperkukuhkan risikan dan pemantauan siber terhadap aktiviti penjualan vape yang mengandungi bahan terlarang melalui media sosial, aplikasi komunikasi dan platform e-dagang.
Di samping itu, katanya, kementerian meningkatkan keupayaan analisis forensik dan makmal bagi mengenal pasti kandungan bahan terlarang yang digunakan dalam cecair vape termasuk dadah sintetik, new psychoactive substances (NPS), opioid sintetik dan bahan halusinogen baharu yang sentiasa berubah mengikut trend pasaran.
“Penguatkuasaan lebih agresif terhadap sindiket yang mengeksploitasi golongan muda dan pelajar sekolah sebagai pengguna, penghantar atau pengedar (akan dilakukan) melalui undang-undang sedia ada seperti Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952,” katanya.
Menurutnya, pihak berwajib juga akan melaksanakan program advokasi, pendidikan pencegahan dadah dan kesedaran awam khususnya kepada golongan belia dan pelajar sekolah mengenai risiko penggunaan vape yang dicampur bahan psikoaktif dan dadah sintetik melalui pegawai perhubungan sekolah (PPS) PDRM.
Dalam pada itu, tegasnya, pihak berkaitan juga melaksanakan Modul Kesedaran Jenayah Terhadap Kanak-Kanak dan Remaja (MESRA) yang merangkumi penyalahgunaan dadah, jenayah seksual, buli, gangsterisme, keselamatan jalan raya, pemerdagangan orang, penipuan dalam talian dan kesihatan mental.
“Kementerian akan terus mengambil pendekatan tegas dan menyeluruh bagi memastikan ancaman penyalahgunaan vape berbahaya ini dapat dibanteras demi melindungi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat, khususnya generasi muda,” katanya lagi. – Khabardotmy
