WTD: RM14 bilion tidak dituntut
KUALA LUMPUR – Jabatan Akauntan Negara (JANM) merekodkan lebih RM14 bilion Wang Tak Dituntut (WTD) sehingga September 2026.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, sehubungan itu, sebanyak 176 program reruai WTD telah dilaksanakan oleh JANM di seluruh negara bagi memperluas kesedaran orang ramai mengenai hak membuat tuntutan.
Menurutnya, antara faktor wang berkenaan masih belum dituntut termasuk kurangnya kesedaran dan pengetahuan mengenai kewujudan WTD serta hak untuk membuat tuntutan
Beliau memberitahu, kerajaan juga telah menggerakkan beberapa langkah untuk mempermudah proses bayaran balik kepada pemilik asal, termasuk masyarakat luar bandar.
“Melalui Portal eGUMIS JANM memudahkan orang awam menyemak dan membuat tuntutan WTD secara dalam talian.
“Sistem ini meningkatkan keberkesanan pengurusan WTD serta memastikan wang yang menjadi hak individu atau organisasi dapat dikembalikan kepada pemilik yang sah dengan lebih cepat, mudah dan tanpa sebarang caj,” katanya seperti dilaporkan oleh portal RTM.
Beliau berkata demikian semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Belanjawan MADANI peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kewangan (MOF) di Dewan Rakyat.
Selain program reruai, JANM turut menyediakan perkhidmatan bas bergerak yang beroperasi dua kali sebulan bagi mendekatkan perkhidmatan berkaitan WTD kepada orang ramai.
