November 2, 2026

Seni deklamasi puisi kekal relevan dalam era digital

0
Berapa besarkah tip RM5 buat ‘abang rider’ (19)

KUALA LUMPUR – Seni deklamasi puisi kekal relevan meskipun negara kini berada dalam era digitalisasi, kata Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr. Mohamad Saleeh Rahamad.

Beliau berkata, perkara tersebut dibuktikan dengan penyertaan golongan muda dalam Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) Ke-40 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya 2026.

Menurutnya, penganjuran sayembara itu menjadi wadah menyemarakkan semangat kebangsaan melalui seni, di samping memupuk kefahaman terhadap peranan sastera dalam pembinaan negara bangsa.

“Sempena Hari Kebangsaan pada setiap tahun perlu ada satu usaha untuk membugar semangat itu dalam bentuk seni yang halus. Jadi ini matlamat utama apabila masa beredar, generasi muda pun muncul.

Barisan pemenang Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) Ke-40 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya 2026. – Foto Dewan Bahasa dan Pustaka di sini baru-baru ini.

“Mereka juga tidak boleh dikesampingkan untuk benar-benar faham bahawa sastera juga mempunyai fungsinya dalam pembinaan negara bangsa dan melahirkan rakyat yang patriotik serta nasionalis,” katanya kepada dalam satu kenyataan semalam.

Terdahulu, ketika berucap pada perasmian majlis tersebut, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Tengah, Nurul Julia Alani Henry berkata, kemerdekaan bukan hanya dikenang melalui sejarah tetapi mesti terus dihidupkan melalui pemikiran bahasa dan budaya.

Pengarah DBP Wilayah Tengah, Nurul Julia Alani Henry ketika menyampaikan ucapan pada majlis perasmian Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) Ke-40 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya 2026 di sini baru-baru ini.

“Selagi bahasa Melayu dimartabatkan, selagi itulah roh kemerdekaan akan terus berdenyut dalam jiwa rakyat. Warisan Melayu mengingatkan kita bahawa nilai budaya dan jati diri bangsa wajib dipelihara.  Dalam konteks hari ini, bahasa dan sastera merupakan antara warisan yang menjadi tunjang kepada kelangsungan tamadun bangsa,” ujarnya.

Sementara itu, Johan SDPK, Muhamad Syahmi Samsuddin, yang mendeklamasikan puisi Jangan Pudarkan Kegemilangan Maruah Nusa karya ibunya, Rohaidah Yon, berkata, beliau mengambil masa kira-kira dua bulan untuk memahami, menghayati dan berlatih sebagai persediaan menyertai sayembara itu.

“Saya memang  gementar membawa puisi ibu sendiri tetapi atas dorongannya, alhamdulillah saya berjaya.  Bahasa dan sastera memang perlu dipupuk sejak kecil lagi.  

“Kalau saya boleh, orang lain pun boleh juga kerana bakat itu ada dan hanya perlu dicungkil dan diteruskan supaya bahasa dan sastera tidak terkubur begitu sahaja,” katanya yang turut menerima piala pusingan Sasterawan Negara Usman Awang selain wang tunai dan sijil.

Johan SDPK Ke-40 Peringkat WP KL dan Putrajaya, Muhamad Syahmi bin Samsuddin.

Hadiah Naib Johan dimenangi oleh Ahmad Syawal Hafris Abdullah, yang mendeklamasi puisi bertajuk Suara Rajawali karya Zaen Kasturi manakala tempat ketiga jatuh kepada Nordiyana Sufffiyah Rosli dengan puisi Bacalah Sejarah oleh Sani La Bise.

Tiga peserta menerima hadiah sagu hati iaitu Hariz Saufi Mohd Zamri, Muhammad Aliff Omar Abdul Jalil dan Ahmad Sa’idun Mohd Mokhtar. 

Turut berlangsung serentak dengan SDPK Ke-40 Peringkat WP Kuala Lumpur dan Putrajaya ialah SDPK Sekolah Menengah Ke-2 Peringkat WP Kuala Lumpur dan Putrajaya yang dijuarai oleh Adeeb Haikal Muhammad Asri dari SMK Seri Tasik, Kuala Lumpur.

“Kita perlu menghayati sajak, memahami maksudnya dengan betul dan menyampaikannya dengan penuh penghayatan. Saya juga berharap lebih ramai menceburi bidang ini kerana banyak perkara tentang bahasa yang dapat dipelajari,” katanya yang menerima piala pusingan Mohd Khair Ngadiron di samping wang tunai dan sijil.

Johan SDPKSM Ke-2, Adeeb Haikal bin Muhammad Asri.

Selain Adeeb Haikal yang memenangi hadiah Johan dengan puisi Kedaulatan Bangsa oleh Abdul Karim Gullam, Naib Johan ialah Adyana Nafiesya Ady Rizalman dari Sekolah Seni Malaysia, Kuala Lumpur (SSemKL) dengan puisi Panji di Ranting Pertiwi karya Nur Najwa Sofea Mohd Zamri manakala tempat ketiga dimenangi oleh Arneismalina Azwen Abdullah juga dari SSeMKL yang mendeklamasikan puisi Usai Mengikat Janji Pada Panji oleh Raja Rajeswari Seetha Raman.

Hadiah-hadiah sagu hati pula dimenangi oleh Aswad Duali Alam dari SMK Presint 8,  Putrajaya,  Nur Airis Qisya Qairina  Nurul Firdaus dari SMK Desa Tun Hussein Onn, Kuala Lumpur  dan Adam Daniel Wong Muhammad Hafiz Wong dari SSeMKL.

Johan kategori sekolah menengah akan mewakili Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya ke sayembara peringkat kebangsaan pada 18 Julai di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), manakala sayembara peringkat kebangsaan Kategori Awam akan berlangsung di Kuching, Sarawak dari 14 hingga 16 Ogos.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah anak sulung Allahyarham Sasterawan Negara Usman iaitu Haslina Usman Awang yang menyampaikan piala pusingan Usman Awang kepada Johan SDPK Ke-40.

Kedua-dua sayembara peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dianjurkan oleh Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), dengan kerjasama DBP dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *