PRN Johor : Pengundi diseru nilai calon berdasarkan integriti, rekod
KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menyeru pengundi Johor menilai calon berdasarkan integriti, kemampuan mentadbir, rekod perkhidmatan dan komitmen membanteras salah guna kuasa.
Presiden MCW, Jais Abdul Karim berkata, pihaknya mengikuti perkembangan kempen PRN Johor yang semakin rancak dengan pelbagai naratif politik, dakwaan dan isu yang dibangkitkan oleh semua pihak.
Menurutnya, PRN Johor seharusnya menjadi medan pertandingan idea dan penyelesaian kepada masalah rakyat, bukannya perlumbaan mencipta persepsi negatif.
“MCW berpandangan bahawa perbezaan pendapat dan kritikan adalah sebahagian daripada demokrasi namun budaya politik negara perlu bergerak ke arah kempen yang lebih matang.
“(Iaitu) …berasaskan fakta, dasar, rekod prestasi dan integriti, bukannya sekadar perang persepsi, sentimen ketakutan atau serangan peribadi,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, semua parti perlu menghormati prinsip pilihan raya yang bersih dan adil.
Sebarang penggunaan aset kerajaan, program rasmi atau sumber awam tegasnya, perlu dielakkan daripada menimbulkan persepsi bahawa ia memberi kelebihan politik kepada mana-mana pihak.
“Pada masa yang sama, semua dakwaan dan kritikan politik mestilah dibuat secara bertanggungjawab, berasaskan bukti serta tidak mengelirukan rakyat,” katanya lagi. – Khabardotmy
