UEM Edgenta perkukuh peranan dalam pembangunan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak
KUALA LUMPUR – UEM Edgenta Berhad (UEM Edgenta) telah mengukuhkan peranannya dalam pembangunan infrastruktur Sarawak susulan kejayaan menyelia dan merealisasikan pembangunan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak.
UEM Edgenta bertindak sebagai sebagai jurutera pemeriksa bebas (independent checking engineer) pada projek tersebut.
Syarikat tersebut menyokong penyiapan Fasa 1 lebuh raya merentasi jarak kira-kira 786 kilometer dari Telok Melano di bahagian selatan hingga Merapok di bahagian utara Sarawak, membabitkan pembinaan 115 buah jambatan dan 25 persimpangan bertingkat yang kompleks.
Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta, Shaiful Subhan berkata, penyempurnaan projek infrastruktur Lebuhraya Pan Borneo merentasi landskap Sarawak yang luas dan pelbagai memerlukan kepakaran teknikal yang luar biasa, tadbir urus berdisiplin dan kerjasama erat dalam kalangan semua pemegang taruh.
Di UEM Edgenta, tambahnya, syarikat tersebut berbangga kerana dapat menyokong wawasan itu dengan menyediakan pemantauan kejuruteraan, pengurusan projek, dan jaminan kualiti yang diperlukan untuk merealisasikan infrastruktur yang kompleks berkenaan.
“Melalui amalan kejuruteraan yang terbukti berkesan serta tadbir urus projek yang ketat, kami telah membantu memastikan lebuh raya ini akan berkhidmat kepada rakyat Sarawak dengan selamat, boleh dipercayai, dan mampan untuk generasi akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, syarikat tersebut memberitahu bahawa lebih 70 peratus tenaga kerja UEM Edgenta yang menyokong projek di Sarawak terdiri daripada bakat tempatan, mencerminkan komitmen syarikat dalam membangunkan kepakaran warga tempatan.
Kolaborasi strategik, termasuk kerjasamanya dengan Swinburne University of Technology Sarawak Campus, terus memperkukuh rantaian bakat tempatan melalui latihan amali, program siswazah, dan pemindahan pengetahuan teknikal.
Menilai impak sosioekonomi projek berkenaan, Pengarah Urusan Penyelesaian Infrastruktur di UEM Edgenta, Raihana Ahmad berkata, Lebuhraya Pan Borneo adalah lebih daripada sekadar jalan raya, ia merupakan pemangkin kepada perpaduan, kemajuan, dan peluang di seluruh Sarawak.
“Bagi pasukan kami di sini, merealisasikan wawasan yang sekian lama dinantikan ini amat bermakna kerana pada akhirnya, ia bertujuan untuk meningkatkan taraf hidup komuniti yang kami santuni.
“Kami berbangga dapat berganding bahu dengan Kerajaan Negeri Sarawak, rakan kongsi, dan kontraktor tempatan bagi menterjemahkan visi ini menjadi kenyataan, di samping memperkukuh keupayaan tempatan yang bakal menyokong aspirasi infrastruktur masa depan negeri ini,” katanya. – Khabardotmy
