November 2, 2026

Network School di Forest City bukan IPTS berdaftar, tiada kerjasama universiti tempatan – KPT

0
Berapa besarkah tip RM5 buat ‘abang rider’ (25)

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menjelaskan bahawa Network School di Forest City, Johor tidak berdaftar sebagai institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) di bawah Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 [Akta 555].

Oleh yang demikian, KPT berkata, Network School bukan merupakan sebuah institusi pendidikan tinggi yang diiktiraf atau dikawal selia oleh kementerian tersebut.

“Hasil semakan KPT juga mendapati bahawa tiada sebarang kerjasama, pengiktirafan atau penglibatan universiti awam (UA) mahupun IPTS berdaftar dengan Network School berdasarkan rekod yang ada pada masa ini.

“Berdasarkan maklumat diperolehi, Network School merupakan sebuah komuniti kediaman swasta dan ruang kerja bersama (co-working space) untuk golongan usahawan teknologi, pelabur dan pengamal digital pemula (startup),” kata kenyataan itu.

Mengulas lanjut, kenyataan itu menambah, KPT pada masa sama turut dimaklumkan bahawa pihak-pihak berkuasa berkaitan sedang meneliti isu ini mengikut bidang kuasa masing-masing.

“KPT akan terus memantau perkembangan isu ini dan akan memberikan kerjasama penuh kepada semua agensi penguatkuasa bagi memastikan undang-undang negara dipatuhi serta kepentingan sistem pendidikan tinggi negara sentiasa terpelihara,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dilaporkan sebagai berkata, mana-mana rakyat Israel yang dikesan berada di negara ini akan diusir serta-merta kerana Malaysia tidak mengiktiraf negara berkenaan.

Beliau berkata, semua agensi berkaitan sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan terdapat warga Israel yang menggunakan dua pasport atau kewarganegaraan untuk menyertai komuniti Network School di Forest City, Johor.

Semalam, media melaporkan bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan sedang menjalankan semakan dan siasatan menyeluruh berhubung isu operasi Network School.

Dalam satu kenyataan, KDN memaklumkan bahawa semakan dan siasatan itu merangkumi  identiti dan kewarganegaraan individu yang terlibat, status serta kesahihan dokumen perjalanan yang digunakan, jenis pas atau kemudahan imigresen yang diberikan serta tujuan kemasukan ke Malaysia.

Selain itu, menurutnya, pematuhan terhadap syarat-syarat yang ditetapkan di bawah undang-undang imigresen serta undang-undang lain yang berkaitan turut akan disiasat.

Sebelum itu, dilaporkan bahawa Kerajaan Negeri Johor menggesa siasatan menyeluruh dilakukan terhadap operasi Network School susulan dakwaan terdapat warga Israel yang menyertai program berkenaan menggunakan pasport negara kedua.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dilaporkan berkata, kerajaan negeri memandang serius perkara itu dan tidak akan membenarkan mana-mana pihak menjadikan Johor sebagai tapak untuk membawa ideologi atau gerakan yang bercanggah dengan undang-undang, kedaulatan serta kepentingan negeri dan negara. – Khabardotmy

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *