PRN Johor: Puad Zarkashi nyata sokongan terbuka kepada calon PH
KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi, telah mengumumkan sokongan terbuka kepada calon Pakatan Harapan (PH), Mohamad Yazid Bakri bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Sokongan tersebut dizahirkan menerusi satu poster dengan slogan ‘Orang Rengit Jaga Rengit’ di laman Facebook hari ini.
Menerusi poster berkenaan, Mohd. Puad menjelaskan bahawa beliau kini tidak lagi berparti dan keputusannya menyokong Mohamad Yazid adalah berlandaskan kredibiliti peribadi calon tersebut.
“Beliau merupakan anak jati Rengit dan bukan duduk di bandar. Yazid duduk di kawasan, rumahnya di Rengit serta Pengerusi Surau Al-Wusto Rengit,” katanya menerusi poster berkenaan.
Mohamad Yazid Bakri akan bertanding di bawah tiket PH dengan nombor calon 3 bagi kawasan tersebut.
Baru-baru ini, Mohd. Puad yang juga bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor mengumumkan keluar daripada UMNO berkuat kuasa serta-merta.
Ekoran daripada itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa Mohd. Puad pernah mengugut untuk meninggalkan parti sekiranya kepimpinan tertinggi UMNO tidak mempertimbangkan anaknya sebagai calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit pada PRN tersebut.
Pada PRN sebelum ini, Mohd. Puad memenangi kerusi DUN Rengit dengan majoriti 1,920 undi selepas memperoleh 7,903 undi, sekali gus menewaskan calon daripada Perikatan Nasional (PN), PKR dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang). – Khabardotmy
