Brazil tersingkir Piala Dunia, Haaland berpeluang rebut kasut emas
NEW YORK – Juara dunia lima kali, Brazil tersingkir daripada persaingan Piala Dunia 2026 apabila tewas pada tangan Norway pada aksi pusingan 16 di Stadium New Jersey, hari ini.
Dua jaringan daripada Erling Haaland memacu kejayaan 2-1 Norway sekali gus membolehkan penyerang Manchester City itu menjadi pencabar kepada Lionel Messi dan Kylian Mbappe dalam perebutan kasut emas, menyaksikan ketiga-tiganya kini sudah menghasilkan tujuh gol.
Brazil terdahulu memiliki peluang berada di hadapan pada minit ke-13, namun sepakan penalti Bruno Guimaraes berjaya diselamatkan penjaga gol Norway, Ørjan Nyland.
Usaha kedua-dua pasukan memecah kebuntuan nampaknya tidak berjaya pada separuh masa pertama apabila mereka terikat tanpa jaringan hingga wisel dibunyikan.
Hanya pada minit ke-79, Haaland membuka jaringan sebelum merobek gawang Brazil buat kali kedua pada minit ke-90.
Brazil sekadar mampu merapatkan kedudukan menerusi sepakan penalti Neymar Jr. pada masa kecederaan, namun jaringan itu terlalu lewat untuk mengelakkan pasukan itu daripada tersingkir.
Keputusan ini turut mengulangi pencapaian Norway 28 tahun lalu iaitu pada aksi peringkat kumpulan Piala Dunia 1998, apabila berjaya menundukkan Brazil 2-1. – Khabardotmy
