July 29, 2026

Berapa besarkah tip RM5 buat ‘abang rider’?

0
Berapa besarkah tip RM5 buat ‘abang rider’ (1)

KUALA LUMPUR – Bagi sesetengah daripada kita, wang bernilai RM2, RM3, atau RM5 mungkin sekadar baki wang saku yang dibiarkan di dalam poket seluar atau diletakkan di celah konsol kereta. 

Namun, bagi golongan penghantar makanan dan barangan (e-hailing), nilai kecil ini rupa-rupanya membawa makna yang cukup besar buat mereka.

Baru-baru ini, tular di platform media sosial mengenai satu perbincangan ringkas namun menjentik hati ramai pihak, yang membuka mata masyarakat tentang realiti sebenar pemberian tip kepada golongan rider.

Kisah ini bermula melalui satu hantaran di aplikasi Threads oleh seorang pengguna berkongsi pengalaman apabila suaminya menegur reaksi luar biasa seorang rider yang menghantar makanan ke rumah mereka.

“Yang… awak tip rider ke?? Berapa banyak??” soal suaminya.

“Aah… RM5 je. Nape?” balas Khadijah ringkas.

“Taklah… dia punya gembira dan berulang kali ucap terima kasih, macam banyak betul tipnya tu,” cerita suaminya semula.

Reaksi penuh kesyukuran terhadap jumlah yang mungkin dianggap biasa-biasa oleh segelintir pelanggan itu lantas mencetuskan persoalan: Berapa besarkah impak wang RM5 kepada pendapatan harian golongan rider?

Lebih menarik, pengguna threads berkenaan turut berkongsi dilema yang dihadapi oleh adik-adiknya. 

Meskipun sering dinasihati agar sentiasa memberi tip kepada rider walaupun setakat RM2 atau RM3, adiknya berasa segan dan menganggap jumlah tersebut terlalu sedikit.

“Adik cakap, setakat RM2-RM3 baik tak payah bagi, buat malu je. Jadi, adakah tip RM2-RM3 tu memang terlalu kecil?” soal wanita tersebut di media sosialnya.

Persoalan itu pantas mendapat perhatian ramai, terutamanya dalam kalangan ahli keluarga rider dan rider itu sendiri. 

Salah satu respons daripada ahli keluarga rider ini turut menarik perhatian dan meruntun jiwa.

Dia yang sedang sarat hamil anak pertama meluahkan rasa syukur dan menceritakan bagaimana suaminya yang melakukan dua kerja demi menyara keluarga sangat menghargai setiap sen yang diberikan pelanggan.

“Terima kasih semua sebab bagi tip dekat rider. Suami saya rider e-hailing. Kalau dia dapat tip, mesti balik rumah akan cerita dekat saya sambil cakap Alhamdulillah. 

“Kalau dapat tip RM5, dia akan bagi saya simpan dalam tabung untuk anak, sebab saya tengah pregnant anak pertama,” luahnya.

Tambahnya lagi, suaminya bekerja di kilang pada siang hari dan terus memandu Grab selepas waktu kerja. 

Kepenatan bekerja dua syif kadang-kala membuatkan suaminya mengalami masalah microsleep

Dalam kepenatan yang melampau itu, pemberian tip daripada pelanggan bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi satu bentuk penghargaan moral yang memberi semangat baru buat mereka.

Bagi menjawab kegusaran mengenai jumlah tip RM2 hingga RM3 yang disifatkan ‘terlalu sedikit’, rata-rata rider tampil menafikan tanggapan tersebut.

Mereka menegaskan bahawa jumlah pemberian sekecil RM1 sekalipun sudah cukup memberikan nikmat yang besar. 

“RM1 saya dah melompat kak,” seloroh seorang rider di ruangan komen.

Ini membuktikan bahawa pelanggan tidak perlu berasa gusar atau malu dengan jumlah tip yang diberikan. 

Sedikit demi sedikit, lama-lama menjadi bukit; himpunan tip yang kecil dalam tempoh sehari tetap akan menjadi besar dan amat bermakna kepada mereka. – Khabardotmy

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *